Teks : Nor Fahidayu Masran
Foto : Nor Fahidayu Masran
Entry : 9
Assalamualaikum wbt. Selamat pagi semua.
Alhamdulillah, syukur Allah permudahkan urusan saya.
Hari ini merupakan hari ketiga saya bercuti tanpa gaji, jika ikut hari bekerja. Saya mohon cuti tanpa gaji selama 92 hari bermula pada 01hb Jun hingga 31hb Ogos 2015. Lebih kurang tiga bulan duduk rumah, makan, tidur, mengasuh dan menyusukan anak. Siapa kata duduk rumah tak buat kerja? Saya rasa lebih banyak kerja bila berada di rumah berbanding jika bekerja. Cumanya, masa kita tidak terikat dan tidak perlu ikut arahan majikan serta tidak ada gaji duduk di rumah.
Untuk mengurus rumahtangga perlu ada jadual juga ye. Jika tidak, mahu berantakan rumahnya. Kalau berniaga dari rumah, lebih perlu jadual yang ketat.
Semalam duduk di rumah, saya cuba buat kuih karipap. Siapa suka? Ini adalah cubaan pertama saya.
Alhamdulillah, menjadi pula. Suami pun puji, sedap katanya. Bukan senang nak dapat pujian dari suami.
.
Saya kongsikan resepinya di sini.
RESEPI DAN PETUA KARIPAP RANGUP
Doh karipap :
---------
500 gm tepung gandum
2 senduk minyak masak dipanaskan
Setengah mug air garam (garam agak-agak sahaja)
Caranya :
Panaskan minyak dan tuang ke dalam tepung. Minyak perlu betul-betul panas. Minyak panas adalah petua untuk dapatkan doh yang rangup. Gaul guna senduk.
Minyak dah sejuk boleh mula guna tangan. Kemudian, letak air garam sedikit demi sedikit. Doh tidak lekat di tangan, di kira siap.
Inti karipap keledek :
---------------
2 batang keledek. Saya guna keledek kulit ungu. Potong dadu. (Boleh juga guna ubi kentang)
.
3 sudu besar serbuk kari daging
3 sudu makan udang kering
Bawang merah, bawang putih (agak-agak)
Cili kering yang telah di kisar (saya kisar bersama bawang dan udang kering)
Sedikit air asam jawa
Daun sup (jika suka, saya tak letak)
Garam secukup rasa
Caranya :
Tumis cili kisar sehingga pecah minyak. Masukkan serbuk kari yang dibancuh sedikit dengan air. Tumis sehingga naik bau dan masukkan air asam jawa. Kemudian, bolehlah masukkan ubi keledek. Biarkan dan tutup kuali supaya ubi cepat empuk. Guna api perlahan. Perasakan dengan garam dan gula. Kalau guna keledek, tak perlu gula sebab keledek dah ada rasa manis. Sudah siap, biarkan sejuk dan boleh mula mengelim karipap.
.
Goreng sehingga kuning keemasan. Guna minyak yang banyak, api perlahan dan mesti rajin terbalikkan karipap semasa menggoreng supaya kulit dalam juga masak.
Siap untuk dihidangkan.
SELAMAT MENCUBA!